Sabtu, 5 Januari 2013

Islam Melayu atau Melayu Islam??


Malaysia hari ini terkenal dengan orang Melayu, orang Cina dan orang India. Bila sebut Melayu kita secara automatic melabel mereka sebagai orang Islam. Cina sebagai Kristian atau Buddha dan juga India sebagai Kristian atau Hindu. Sehinggakan ada orang bukan Islam di Malaysia menganggap bahawa masuk Islam adalah masuk Melayu.

            Masyarakat Malaysia menjadi keliru dengan persepsi ini. Manakala usaha dakwah dan memahamkan kepada orang bukan Islam menjadi sukar. Ini harus difahami dengan cara yang bijak. Pandangan masyarakat tentang meletak Islam sebagai kepunyaan orang Melayu perlu dibetulkan. Lebih-lebih lagi sebagai seorang pendakwah atau Dai, kita perlu memahami dari aspek sejarah sehingga ke lingkungan sosial hari ini. Islam yang sebenar bukanlah Islam yang diamalkan oleh orang Melayu hari ini. Islam yang sebenar juga bukan yang diamalkan oleh sesetengah pertubuhan. Tetapi Islam yang sebenar adalah Islam yang berlandaskan AlQuran dan AsSunnah.

            Post kali ini adalah untuk kita memahami Melayu dalam erti kata di manakah kedudukan Islam. Di Malaysia, orang Islam sangat bertuah. Hal demikian kerana usaha pemimpin Islam terdahulu dalam menjaga martabat Islam terhadap umat Islam di Malaysia sangat dipentingkan. Buktinya, Islam tertakluk dalam Perlembagaan Persekutuan. Biarpun sudah ada pemimpin Cina dan India yang bukan Islam pada ketika itu, pemimpin Islam Melayu telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menjaga martabat Islam.

            Hubungan kontrak social antara kaum di Malaysia dipersetujui oleh pemimpin dahulu. Perbincangan di Meja Bulat untuk mengakui Tanah Melayu sebagai kepunyaan orang Melayu menjadi titik permulaan perbincangan. Ini harus difahami dalam konteks yang tepat. Dari mula penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, Islam telah diletakkan berada pada tempatnya. Perlembagaan Persekutuan yang termaktub agama rasmi persekutuan adalah agama Islam bukan hanya sebagai retorik. Buktinya, umat Islam di Malaysia hari ini sangat selesa untuk mengamalkan Islam. Sehinggakan apabila wujud ancaman dari dakyah agama lain untuk memurtadkan orang Islam di Malaysia, wujud banyak pertubuhan-pertubuhan Islam yang secara lantang bersuara untuk menjaga kedaulatan Islam di Malaysia yang berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan. Maka, undang-undang ini menjadi penting kepada usaha menjaga sensitivity umat Islam. Inilah kelebihan umat Islam dari segi perundangan di Malaysia.

            Berbalik kepada Melayu. Mengapa Melayu menjadi canangan bahawa masuk Islam adalah masuk Melayu? Perlembagaan Persekutuan mentaksirkan Melayu adalah orang yang beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu dan bertutur bahasa Melayu. 3 faktor ini meletakkan diri kita sebagai orang Melayu. Mungkin ini adalah antara sebab masuk Islam adalah masuk Melayu. Apabila dilihat dari sudut ini, kita akan beranggapan bahawa ini adalah tafsiran sempit untuk meletakkan siapakah orang Melayu dan siapakah orang Islam? Tetapi inilah sebagai sebahagian strategi pemimpin dahulu dalam menjaga kedaulatan Islam dan Melayu.



            Saya akan menghurai satu per satu bagaimana untuk kita memahami Melayu dan Islam dalam perspektif yang lebih luas.

            Pada abad ke 12,  terdapat zaman kekuasaan Hindu Majapahit dan Srivijaya. Pada waktu itu, agama Islam tersebar tetapi tidak terlalu ramai dan kukuh untuk menubuhkan Institusi Kesultanan Islam. Yang jelasnya, masyarakat Nusantara ketika itu majoritinya adalah orang Hindu-Buddha. Bahasa yang terkenal pada waktu itu adalah bahasa Jawa sehinggakan bahasa ini diletakkan sebagai bahasa Istana (Kraton). Orang yang berbahasa Jawa adalah golongan yang perlu dihormati. Istilah bahasa Jawa juga kebanyakannya daripada bahasa Sanskrit yakni bahasa yang digunapakai dalam kitab Hindu (Veda). Maka wujud kekuatan erat antara bahasa Jawa dan Hindu.

            Pada abad tersebut juga telah ada pendakwah-pendakwah yang menyebar luaskan Islam. Antara strategi mereka adalah berdakwah menggunakan bahasa. Bahasa yang paling kaya ketika itu adalah bahasa Jawa. Maka, pendakwah berasa sukar untuk menyebarkan Islam melalui bahasa tersebut kerana kekuatan yang sangat erat antara bahasa Jawa dan Hindu. Tetapi pada waktu itu juga telah wujud bahasa Melayu. Pada zaman itu, bahasa yang paling miskin kosa katanya adalah bahasa Melayu. Ini merupakan strategi penting pendakwah dalam menyebarkan Islam. Bahasa Melayu diangkat dengan doktrin-doktrin memasukkan bahasa Arab yang merupakan bahasa AlQuran. Akhirnya, di Nusantara, wujud Melayu yang sangat erat dengan agama Islam. Bahasa Melayu menjadi berdaulat dengan kedatangan Islam.

            Inilah keterkaitan besar antara Melayu dan Islam sejak dari abad ke12. Erat melayu dan Islam itu sangat rapat.


Berdasarkan taksiran Orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan


Kedudukan Agama Islam dalam Perlembagaan Persekutuan (Perkara 3)


            Berbalik kepada Perlembagaan Persekutuan. Mungkin inilah antara sebab warisan kedaulatan Islam dan Melayu diterjemahkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan. Bangsa Melayu berdaulat kerana kedaulatan dan kesucian Islam. Ini yang harus difahami oleh Umat Islam di Malaysia. Hal demikian menandakan bahawa tanggungjawab sebagai Melayu adalah penting sebagaimana pentingnya Islam kerana orang Melayu adalah orang Islam. Di Malaysia orang Melayu terdiri daripada orang berketurunan Jawa, Bugis, peranakan Arab, peranakan Cina, peranakan India, Banjar, Rawa, Deli, Siam dan banyak lagi. Tetapi mereka di rumpunkan dalam bangsa Melayu. Ini juga antara sebab untuk memahami siapakah Melayu. Adakah Melayu berdasarkan keturunan atau sebagai strategi menjaga kedaulatan dan warisan Islam? Jawapan saya adalah Melayu adalah strategi untuk menjaga kedaulatan dan warisan Islam.

            Sebagai orang yang ingin menyampaikan Islam, kita perlu mengetahui ini secara tepat dan perlu difahami. Jangan kita melihat Melayu pada sudut bangsa sahaja. Biarpun, ia telah bernuansa dan sebati dengan Islam sejak dari abad ke12.

            Dalam masa yang sama, kita juga tidak boleh hanya berbangga untuk menjadi bangsa Melayu semata-mata. Hal demikian kerana Melayu hari ini masih banyak lagi tidak melakukan aktiviti harian sebagaimana saranan Islam yang sebenar. Inilah antara sebab yang menjadi fitnah untuk orang bukan Islam berjinak-jinak dengan agama Islam seterusnya menjauhkan diri daripada Islam. Islam di Malaysia menjadi sukar untuk disebarluaskan kepada orang bukan Islam kerana mereka meletak kayu ukur Islam pada bangsa Melayu. Walhal, bangsa Melayu hari ini masih ramai lagi tidak mengikuti agama Islam Rasulullah SAW. Melayu di Malaysia harus menyedari hakikat ini.

            Inilah antara masalah dan cabaran besar kepada umat Islam di Malaysia. Umat Melayu dan Islam di Malaysia mengambil jalan yang diletakkan oleh AlQuran dan AsSunnah. Tidak perlu berbangga untuk menjadi bangsa Melayu semata. Sebaliknya, bersyukurlah menjadi umat Islam yang berbangsa Melayu kerana Islam tidak meletakkan agama pada ukuran warna kulit dan bangsa. Rasa kesyukuran itu harus diterjemahkan dalam aktiviti seharian kita dari segi muamalat, siasah, makan dan minum, budaya dan banyak lagi.

             Maka, diakhir post ini, saranan saya adalah Melayu hari ini perlu beranjak selangkah maju dengan membentuk budaya, akhlak, muamalat dan kehidupan seharian yang lebih jitu berpaksikan AlQuran dan AsSunnah bersandarkan kerana Allah SWT. Jangan kita biarkan Melayu menjadi fitnah kepada Islam. 

1 ulasan: