Rabu, 6 April 2011

Bedah Buku 'Inilah Islam' Cetusan Sayyid Qutb

Pada ruangan kali ini akan saya post kan tentang buku Inilah Islam dari Sayyid Qutb. Tajuk yang di letak pada buku ini menarik perhatian saya untuk memahami apakah intipati Islam yang sebenarnya sering kita fikirkan. Sedang kini kita sering berbincang dalam kalangan sesama sendiri tentang Islam melalui aspek politik, ibadat, pentadbiran, sosial dan lebih-lebih lagi masalah sosial masyarakat yang dilanda ketika ini yakni masalah pembuangan bayi dan zina.

Hari ini ramai umat Islam sering membincangkan hal remeh-temeh tentang Islam. Misalannya, soal solat, membaca Al-Quran, dan di bawah satu skop yang lebih kecil yang sahaja mengaitkan soal ibadat di surau atau masjid. Membaca Al-Quran seperti betulkah tajwid seseorang apabila membaca Al-Quran. Masyarakat kini secara kasarnya tidak mengamalkan pembacaan Al-Quran atas dasar bimbang dengan kesalahan yang akan dilakukan ketika membaca Al-Quran. Orang melayu khususnya acapkali memikirkan hal ini, apabila membaca al-quran mestilah membaca al-Quran dengan betul tajwidnya kerana kesalahan yang dilakukan akan membawa makna yang lain dari makna sebenar ayat dalam al-quran. Selain itu, sistem pendakwahan yang secara rata-ratanya kita lihat pendokongnya adalah golongan ustaz dan ustazah. Waima, fahaman ini harus diubah dan dibendung secara total kerana Islam mewajibkan Dakwah kepada semua umat Islam. Fahaman jumud ini haruslah disangkal.

Islam yang sebenarnya bukanlah itu. Tetapi Islam sangat menitikberatkan soal pembentukan akidah atau iman seseorang. Semasa permulaan dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W, soal akidah atau iman sahabat-sahabat ketika itu diterap olah Rasulullah S.A.W dengan mantap. Dan semasa itu, syariat agama seperti bersolat atau menunaikan zakat belum lagi terlaksana. Namun, kisah semasa penyeksaan Sumayyah belum lagi diletakkan syariat Islam seperti yang saya katakan tadi (solat, zakat, urusan jual beli). Walaubagaimanapun, Sumayyah yakin sebenar-benarnya apakah yang disampaikan Rasulullah S.A.W benar atau tidak. Sehinggakan beliau mati syahid mengakui bahawa Allah itu Maha Esa.

Sedikit pengenalan dari saya tentang mengapa saya tertarik untuk membaca buku Inilah Islam. Terus-terang saya katakan, dengan keadaan umat Islam kini yang begitu sinonim dengan masalah moral dan sosial, sudah pasti apabila para pendokong dakwah (Ustaz/Ustazah) menyeru kepada Umat Islam ketika ini pastinya sukar untuk masyarakat mengikuti seruannya. Hal ini kerana, akidah atau Iman yang diterapkan di sekolah tidak mampu membentuk modal insan seperti sahabat-sahabat Rasulullah. Namun, itu bukan suatu alasan yang kukuh untuk orang-orang yang merindui kegemilangan Islam kembali memuncak di muka bumi ini.

Menyingkap kembali semasa zaman penaklukan Constantinople oleh Sultan Muhammad Al-Fateh, perbezaan jarak masa semasa pendakwahan Rasulullah S.A.W dengan zaman Sultan Muhammad Al-Fateh menguasai Constantinople adalah lebih kurang 1400 tahun. Faktor masa bukanlah suatu alasan bahawa kegemilangan Islam tidak akan kembali menyinar. Walaubagaimanapun, Sultan Muhammad Al-Fateh berjaya menguasai Constantinople bermula dari setiap individu dalam masyarakat itu sendiri. Sultan Muhammad Al-Fateh menanamkan keimanan dan akidah yang kuat kepada bala tenteranya sehingga Kapal perang mereka berjaya memasuki kubu kuat Constantinople melalui jalan DARAT(jalan Gunung) dan pihak musuh tidak menyangka akan hal itu. Begitu kuatnya keimanan mereka terhadap Islam.

Berbalik kepada tajuk saya, buku Inilah Islam membuka minda pembaca untuk memahami apakah tuntutan sebenar Islam. Buku ini merangkumi manhaj(pemikiran) yang dibawa oleh Islam sesuai dengan sepanjang zaman baik semasa zaman Rasulullah S.A.W sehingga ke zaman sekarang. Manhaj ini juga membandingkan antara ideologi-ideologi manusia dengan manhaj Islam. Perbandingan seperti Sistem Kasta di India, Sistem Pemerintahan Rom dan yang lain-lain. Jelas, Islam adalah penyelesaian yang terbaik kerana manhaj Islam telah digubal oleh Tuhan(Allah) kepada makhluk ciptaannya. Manhaj yang diterangkan tidak mendiskriminasi mana-mana pihak berbanding ideologi yang dibawa oleh manusia.

Akhir kata, untuk memahami intipati Islam itu sendiri, baca dan fahamilah buku Inilah Islam dari Sayyid Qutb. Sedang kita sibuk dengan aktiviti harian, eloklah kiranya untuk kita membaca buku ini kerana Islam adalah cara kehidupan dan bukan mencakupi aktiviti ibadat solat dan zakat sahaja.

Sabtu, 12 Februari 2011

Serangan Pemikiran 2012

Setelah 2 tahun saya tidak menulis, Alhamdulillah, dengan semangat baru saya untuk berubah dan menjadi lebih baik akan saya cari dan terus mencari agar semangat saya dapat memberi kesedaran kepada diri sendiri dan pembaca tentang keadaan umat Islam sekarang yang terus terhimpit ditekan arus pemodenan dan tuntutan ekonomi yang tidak lain tidak bukan menjejaskan penghidupan dan pemikiran umat Islam dalam konteks akidah.

Pada beberapa minggu yang lepas, telah saya hadiri program 2012 : DESTRUCTION OF THE WORLD di UPM. Ahli panel dalam program tersebut ialah Tuan Mohd Khalid Yahya ( penulis buku 2012 : Sebuah Konspirasi Galaktik' ) dan Encik Muhammad Syaari Abdul Rahman ( IP Minda Consultant ).

Dalam penyampaian mereka yang penuh dengan perkara-perkara mengejutkan dan memberi kebimbangan yang amat genting pada diri saya, tertarik untuk saya menulis dan berkongsi sedikit cetusan idea serta masalah di dalam blog ini agar ianya menjadi satu titik tolak khususnya pada diri saya dan diri para pembaca tentang serangan pemikiran yang mencetus banyak problematika Ummah dari peringkat kanak-kanak, remaja sehinggalah peringkat golongan dewasa.

Apa yang menarik dengan angka 2012 yang sehingga kini menjadi satu tanda tanya yang cukup membimbangkan? Angka 2012 telah mula menjadi buah mulut orang ramai khususnya masyarakat Islam di negara kita setelah penghasilan filem 2012 : End Of The World. Menurut pandangan Islam yang diterangkan oleh ahli panel, terdapat hadis sahih yang tidak sempat untuk saya catat, telah disampaikan oleh Rasulullah kepada umatnya tentang tanda-tanda bila akan berlakunya hari kiamat. Namun, segala apa yang telah di nyatakan sedang dan telah lama berlaku di sekeliling kita. Cuma terdapat beberapa petanda besar yang belum terjadi lagi yakni turunnya Nabi Isa al-masih, lahirnya Imam Mahdi dan kemunculan ad-dajjal al-masih. Apabila berlakunya keadaan seperti itu, maka akan hampirlah hari kiamat yang telah digariskan oleh Rasulullah.

Walaubagaimanapun, terdapat juga pesanan dari Rasulullah tentang keadaan bumi semasa zaman Baginda masih hidup lagi. Sekitar zaman tersebut telah disampaikan tentang keadaan Bumi yang digambarkan sebagai seorang orang tua yang bongkok badannya. Ini jelas menunjukkan keadaan Bumi seketika hidupnya Rasulullah, usia Bumi sudah tua dan hampir dengan ajalnya.

Islam tidak menetapkan tarikh bila berlakunya hari kiamat tetapi memberi tanda-tanda bila akan berlakunya hari kiamat. Namun, kiamat pula terbahagi kepada dua iaitu kiamat kecil dan kiamat besar. Kiamat kecil ialah berakhirnya penghidupan seseorang yakni terpisahnya roh dan jasad buat selama-lamanya (meninggal dunia) manakala kiamat besar ialah berakhirnya usia Bumi mencakupi alam semesta dan diikuti pula hari pembalasan kelak.

Angka 2012 telah dijadikan momokan agenda tersembunyi pihak-pihak tertentu yang kini jelas berleluasanya momokan tersebut pada pemikiran dalam kalangan masyarakat kita tanpa sedar. Momokan 2012 adalah salah satu aplikasi daripada konsep dajjal yang sentiasa di kaitkan dengan fitnah. Di zaman ini, banyak ideologi-ideologi yang telah lama tersebar meluas mempengaruhi corak pemikiran Umat Islam daripada hal remeh-temeh sehinggalah hal besar. Kebanyakan ideologi ini, ditanamkan ke dalam pemikiran melalui saluran hiburan (filem/rancangan televisyen) dengan meracuni minda separa sedar (subconcious mind) yang telah bermula dalam diri seseorang individu dari peringkat kanak-kanak sehingga dewasa.

Konsep dajjal jelas mengubah cara pemikiran fahaman Islam. Dengan kata lain, konsep dajjal ialah mengubah fantasi menjadi realiti. Konsep ini dapat dilihat daripada aplikasinya dalam filem-filem yang sering mendapat sambutan hangat dalam dan luar negara. Misalnya, filem Harry Potter yang mengisahkan tentang ancaman dari sihir hitam/jahat yang sentiasa mencari jalan untuk berkuasa. Sebagai penonton, semestinya kita akan berpihak kepada satu kuasa baik dalam filem yang ditonton dan didalam filem ini yang memiliki kuasa baik adalah sihir putih (white magic). Sedar tak sedar, sama ada kita berpihak kepada sihir hitam atau pun sihir putih, kedua-duanya jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Hal ini kerana, sihir adalah perkara yang jelas dilarang dan wajib dicanggah. Namun, serangan pemikiran melalui minda separa sedar membuahkan hasil yang diracuni. Rata-rata, kanak-kanak dan remaja terpengaruh dengan filem ini secara tidak sedar. Generasi muda telah dipengaruhi sehingga mereka tanpa soal selidik menyokong dan timbul serba sedikit perasaan kolot dan menidak terhadap ajaran Islam.

Konsep Dajjal tersebut mampu menggoyahkan pegangan akidah seorang Muslim terhadap Islam lebih-lebih lagi kanak-kanak dan remaja yang baru mengenali dunia. Golongan sasaran seperti kanak-kanak dan remaja diutamakan dalam misi mereka bagi mengaburi pandangan dan pemikirannya terhadap Islam kerana kebanyakannya tidak mempunyai asas akidah yang cukup kuat. Melalui cara ini, masyarakat Islam akan terus tenggelam di lautan fitnah Dajjal dan terus-menerus leka dengan permainan rekaan Dajjal. Hal ini adalah sesuatu yang amat serius dan harus dititikberatkan kerana ianya mempengaruhi masa hadapan Umat Islam.

Apakah sinonimnya 2012 dengan konsep dajjal? 2012 merupakan salah satu fitnah dajjal yang dimomokkan ke dalam pemikiran masyarakat Islam. InsyaAllah akan saya sambung post saya pada kali yang lain. Petikan di atas saya tujukan pada diri saya dan masyarakat Muslim yang lain untuk menyedari apa yang sedang berlaku tika kita leka di buai mimpi indah dunia sendiri. Akan saya sambung petikan kali ini apabila tiba masa dan Salam Perjuangan bagi yang membaca artikel kali ini.