Khamis, 16 Februari 2012

Parti Merosak Minda Muslim


Serangan politik yang menjadi gelanggang orang ramai tidak kira mengikut kaum Melayu, Cina, India ataupun Muslim dan Non-muslim sebegitujua pejuang kebenaran serta pencari, golongan akademia, pencinta isme, ketaksuban pendirian, pemerhati alam, ikutan hak asasi, dan sebegitu kepada pembaca yang dihargai. Tentu sekali golongan ini sering membicarakan soal politik hari demi hari. Inilah yang menjadi isu sekian hari, tiada penghujung, menjadi perjudian taruhan yang akhirnya tiada menjadi seperti apa yang diimpi. Penulis bukan mahu menidakkan tentang soal ini, namun, lahir sejenak dalam hati penulis kecewa dengan permainan masyarakat tempiasnya terkena pada masyarakat Islami.
 
Perasaan kasih yang belas melihat masyarakat terumbang-ambing tiada kata sepakat menjadi kerisauan memuncak dalam diri. Ini bukan lah suatu prejudis terhadap segolongan pihak. Bukan juga memenangkan isu sebelah pihak. Tetapi penulis yang melihat pemerangkapan masyarakat yang berperang sesama sendiri, tiada peduli pandangan mutlak, mewakilkan diri sebagai Islam, namun, tidak pula Iman dihati bertambah pabila pengadilan diberi walau diragui. Penulis tiada memahami pendapat orang yang ini tiada juga memahami yang sebelah sini. Sebaliknya, penulis sudah pening berusaha mencari titik yang perlu disepakati. Tambah, sakit di hati kerna bimbang serta khuatir golongan generasi anak-anak ku nanti.

 

Penulis sedih melihat pada dada akhbar yang berperang sesama ummah. Politik jelmaan parti pastinya sukar difahami. Kerana politik parti dicanang oleh geliga si penjajah. Biarpun berpegang pada yang benar, tetapi bernaung di bawah parti pasti kerosakan akan menjadi-jadi. Kerana parti, fitnah-menfitnah menjadi budaya. Usaha menentukan siapakah di pihak yang benar atau salah menjadi keraguan yang sukar dinafikan lagi. Lebih-lebih lagi, perkara yang tidak pasti di sokong oleh individu mahupun sebarang pihak mencanangkan semberono bagaikan ianya pasti berlaku ataupun sebalik demikian. Ramai yang memperjuangkan kebenaran. Ya, sudah pasti kebenaran yang menjadi perjuangan. Tetapi kebenaran apa yang ingin diperolehi. Adakah kebenaran yang berada pada bobot kehidupan mahupun sejarah atau kebenaran tertegaknya kalimah Ilahi? Supaya semua sedia menyedari hakikat yang sememangnya tidak perlu dikhuatiri. Bukan hanya berusaha menegakkan kalimah kebenaran bernada Pencipta. Harusnya semua merasai hakikat jiwa wujud mengenali Sang Dewata Mulia Raya. Inilah akidah yang menjadi suatu tujuan kepada para pejuang bergelar Da’i. Akidah Islam yang tidak mengenali rupa mahu bangsa. Akidah yang merentasi garisan kawasan, tiada penghalang. 

UMNO mahupun PAS hanyalah parti seperti yang penulis nukilkan tadi. Biar kedua-duanya mempunyai dasar perlembagaan yang berbeza namun kembalilah kepada bawah satu nama yang sudah terkukuh tanpa goyah, gelaran yang diberi oleh Sang Penciptaraya. Penulis tidak mahu membezakan kedua buah parti yang banyak memberi jasa kepada tanah air. Kerna penulis pasti di dalam kedua parti ini terkandung saudara-saudara Islam yang masing-masing mengakui perjuangan sendiri. Yang berbeza hanyalah orang yang berada dalam parti itu sendiri. Mungkin yang sebelah sini berjuang hukum Ilahi secara terang-terangan. Berjuang agar hukum hudud sedia terlaksana di bumi ini. Tiada yang adil melain hukum yang telah ArRahman tetapkan. 

Penulis percaya parti ini amat menghitung kepada daulah Islamiyyah. Mereka rindukan akan suasana ini, namun, tidak cukup hanya menang pada kiraan undi. Kerana masih ada segenap perkara yang belum selesai sedang menular menyelusuri sungai-sungai, lalu, busuk serta menjijik untuk dihinggapi. Parti Pas ini menjadi cerminan pada parti saudaraku yang satu ini. Umno perlu berubah dari pemimpin menurun kepada bawahnya. Cuma nasihat agar tidak leka amanah yang diberi. Gunakanlah sebaiknya. Takut di persoal ke mana arah tujunya satu hari nanti. Hati kecil ini tidak pasti yang mana menjadi ikutan sendiri kerna sering terhimpit di antara gerombolan. 

Inilah kesan tapak penjajahan Barat yang datang merubah sistem suatu masyarakat dahulu hingga sekarang. Sukar untuk merobah segala sistem yang telah terpahat lama ukiran si Barat. Namun, apakan daya, perjuangan membentuk akidah lebih utama. Akidah yang mengukir sudut pandang Tarbiyah dan Dakwah. Akidah daripada pandang Islamiyyah. Akidah yang dibentuk pada para Sahabat juga pada Muhammad SAW. Moga nukilan ini pencetus kepada semangat yang perlu bergerak menaungi ke seluruh masyarakat kerana hak Akidah tiada terbatas pada ketinggian bangsa mahupun negara.